Posted by : Mohd Asri Hj Zainal May 23, 2012




Saya menyelak helaian buku Kisah-Kisah yang Terdapat Dalam AlQuran tulisan Doktor Abdul Salam Aluush.

Kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Khidr yang termaktub didalam Surah AlKahfi banyak memberikan inspirasi dalam mendidik erti kesabaran.

"Itulah sikap golongan agama ! Baru pandai sikit bahasa arab dah boleh mentafsir ayat alquran dengan sendiri !". Gertak seorang pemuda yang baru menerima 'cahaya' semula.

Saya dan Aiman tersentak dan bisu.

"Ayat AlQuran ini ada 7 peringkat. Yang korang tahu tu baru hanya satu peringkat!". Sambung pemuda berjambang nipis itu lagi.

"Saya memang tidak tahu lah bang tentang peringkat ayat alquran yang abang sebutkan ni. Tapi, dari apa yang saya belajar dari tafsir itulah maknanya ayat itu". Saya cuba memberikan jawapan dengan penuh hikmah.

Mukanya sedikit berubah dengan penjelasan itu.

Saya mula mengatur persoalan demi sebuah penjelasan.

"Semua cara dakwah dalam dunia ini salah ! Semua yang ada phd ini pun salah ! Bahaya mereka ni. Falsafah !". Makin aggersif dengan pendapat yang betul dalam salah.

Sabar untuk kedua kalinya.

Ini bukan kali pertama berhadapan dengan orang yang bersikap dan berfikiran seperti ini. Namun, ini lebih radikal dari pertama kali berjumpa sebelumnya. Radikal yang tersasar.

"Ouh, kalau begitu cara macam mana yang betul?". Tanya saya.

"Cara yang betul hanyalah cara Syeikh itu".

Rupanya virus obses telah merebak membarahi pemikiran pemuda ini.

"Kalau macam itu, usaha Ustaz Azhar Idrus membawa anak muda kembali itu salahlah bang?". Tanya Aiman mendapat kepastian.

"Sangat salah ! Dia tu Ustaz Maharaja Lawak. Berlawak ketawa dengan hukum Allah".

"Kiamat nak dekat ! Jangan fikir orang lain dah , fikir diri sendiri !". Tambahnya lagi dengan penuh keyakinan untuk meyakinkan saya dan juga Aiman.

Suasana malam itu sedikit berlainan ditambah dengan perwatakan yang begitu berbeza pemuda itu ketika di awal pertemuannya bersama kami.

Otak makin laju memikirkan soalan untuk beliau. Dan makin bertambah laju apabila memikirkan strategi membetulkan pemahaman beliau.

Hampir kesemua kefahaman anak muda ini lari dari skop kesyumulan islam. Rata-rata percakapannya banyak kepada ajakan meninggalkan dunia dan seisinya. Hatta, skop dakwah yang besar dipandang begitu kecil. Sangat kecil !

"Cara dakwah yang paling betul adalah dengan mengimarahkan masjid". Saya sangat sokong kenyataan ini namun tidak sokong dengan aplikasinya.

"So, kalau nak imarahkan kena lah berdakwah untuk berikan kesedaran kepada ummat". "Macam mana kalau nak imarahkan masjid tapi kerja dakwah tak mantap?" Soal saya.

"Kau sedar tak ni ! Kiamat nak dekattt, selamatkan diri sendiri dulu !". Jawabnya tanpa menjawab soalan saya.

Akhirnya, apabila anak muda itu mula enak bercerita tentang latar belakang kehidupannya baru saya sedari bahawa beliau tertipu setelah lama tertipu dengan kehidupannya diperantauan seketika dahulu.

Akibat tertipu sekian lama dan ingin mencari cahaya kehidupan yang baru tetapi malangnya tertipu untuk kali yang keduanya.

Belajar dan mengamalkan zikir tarikat tanpa bertemu tuan guru yang mursyid.

Seperti kera yang dapat cincin lalu ditanyakan kepada kera yang lain tentang perihal cincin tersebut.

Dunia Jambatan Akhirat.

Namun, pengalaman bertemu insan seperti ini sebelum ini memberikan guide line kepada saya untuk terus tidak meninggalkannya jauh.

Beramal untuk akhirat tidak semestinya kita menafikan hak dunia. Hak untuk membina kehidupan yang akan membantu kehidupan disana.

Ibnu Umar R.A pernah berkata,

"Beramallah seakan-akan kamu akan mati esok hari. Dan bekerjalah seakan-akan kamu akan hidup selamanya".

Imam Alghazali juga menceritakan didalam kitab Ihya' Al-Ulumuddin bahawa antara ciri ahli ibadah yang tertipu adalah mereka yang berlebih-lebih beramal untuk mengejar akhirat sehinggakan melupakan dunia.

Alangkah indahnya, jika didunia ini semuanya bersikap sederhana.

Sederhana didalam berfikiran. Sederhana didalam beramalan. Dan juga paling penting bersederhana didalam berurusan dengan dunia !

Seimbang dunia akhirat !

Masakan tidak Imam Syafie r.a. menyebut perihal dunia yang perlu diperoleh dengan ilmu. Masakan tidak para imam-imam yang terdahulu menolak untuk mencari rezeki didunia.

Dunia Bukan Matlamat.

"Ya Allah, janganlah Kau jadikan dunia ini sebagai kepentingan utama kami!". Doa ini sering dituturkan dibibir kita.

Semuanya memohon kepada Allah agar dunia ini tidak menjadi Matlamat bahkan ianya menjadi Aat untuk Akhirat.

Itu yang sepatutnya.

Mengenepikan hak-hak kehidupan seperti menidakkan diri kita sebagai manusia.

Tinggalkan hak isteri, anak-anak, dan yang paling sedih apabila mengenepikan peluang ibadah dengan dunia.

Gunakan dunia ini dengan sebaiknya untuk menuju matlamat kita disana.

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)". (Surah Ali Imran : 14)

Jangan menafikan hak kita !

Namun, apabila kita bersahabat dengan insan seperti ini jangan sisihkan mereka. Rakanilah mereka supaya mereka juga seperti kita nanti.

Pendekatan yang besederhana dan sopan ketika berhujjah dengan insan seperti ini akan memberikan nilai tambah kepada anda.

Entiti dakwah itu sendiri perlu dengan Hikmah, Bijaksana dan Kebaikkan.

Jangan ketika mereka menggunakan bahasa akal, Kita menggunakan bahasa Arab !

Agar kita boleh contohi Nabi Khidir A.S dalam memberi Hikmah.

Besederhana itu Indah.


Pengalaman Mengajar Erti Kehidupan | Teratak Nasyatilla II 0947am



One Response so far.

  1. izzah says:

    mohon curi beberapa ayat dlm entry ni . hehe

- Copyright © Selalu Berbicara -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -