Posted by : Mohd Asri Hj Zainal May 6, 2012




“Ustazz dah sampaiiii”.

“Beraturrrrr”.

Suara yang acapkali kedengaran diwaktu ini. Syazanie walaupun tubuhnya kecil tapi suaranya lantang.

Ustazah Laili dan Ustazah Syarfiza pun sudah sedia menunggu anak-anak kecil ini beratur sebelum memasuki kelas masing-masing.

Hari Khamis 13 September 2011. Hari terakhir sesi persekolahan KAFA minggu ini.

Ada ibu bapa yang masih menunggu anaknya sehingga selesai perhimpunan. Mungkin selepas melihat anaknya masuk ke kelas barulah mereka beredar. Harapan setiap penjaga mesti mahu melihat anaknya cemerlang dunia dan akhirat.

Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anaknya sengsara dalam kehidupan. Aku teringat sebuah filem melayu Ampunkan Dosaku yang dibintangi oleh Ezany Zariff, Zamarul Hisham dan Fauziah Nawi.
Filem yang mengisahkan pengorbanan seorang ibu tunggal yang terpaksa menjual badannya demi memastikan anaknya tidak mati kelaparan dan tidak mati dek kebodohan tiada ilmu duniawi dan ukhrawi. Walaupun kerja ibunya(Fauziah Nawi) itu tidaklah selari dengan tuntutan agama dan sepatutnya mencari kerja yang halal namun demi anak-anak ibu itu terpaksa membelakangkan larangan agama.

Ada positifnya dan juga ada negatifnya.

Positifnya adalah pengorbanan seorang ibu yang tidak mahu melihat anaknya sengsara. Negatifnya ibunya mencari jalan singkat dengan melacur.

Buang yang keruh kita ambil yang jernih.

Berikutan itu jugalah, perlu diingat bersama dan dikenang bersama jasa ibu yang tiada mampu untuk kita balasnya.

Berlaku baiklah dengan ibu dan bapa kita selagi mana mereka tidak melanggari perintah Allah dan RasulNya.

Firma Allah,
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)” Surah Al-Israa’ ; 23

Akal Yang Sihat Hasil Badan Yang Sihat.

“Kenapa semua pakai baju sukan ni. Hari ini ada sukan tahunan ke?”. Tanyaku yang pelik melihat semua pelajar termasuk darjah lainnya turut memakai baju sukan.

“Alaaa Ushtat ni, hari ini kite PJK lah !”. Jawab Aiman Hakim dengan peluh didahinya masih belum hilang.

“Ouh PJKKK, PJK tu apa ye?”. Sahaja aku bertanya kepada mereka dengan niat untuk menceriakan sedikit suasana petang ini.

“Projek Jalan Kambing eaaa?”.

“Hahahaha, Kambing”. Gelak Aiman Hakim.

“Ushtat, Ushtat.. Ushtat suka makan kambing eaaa”. Gagap Farish yang cuba mencelah ditengah tawaan besar Aiman Hakim.

Memang ketika berada dibangku sekolah rendah ini antara jadual waktu yang paling dinantikan adalah Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).

Ketika ini lah waktu untuk menunjukkan kehebatan dalam bersukan. Ada yang ingin menunjukkan skil bermain bola dengan hebat. Tidak kurang juga dengan bermain badminton dan hokinya.

Selalunya, di awal sesi PJK guru yang bertugas pasti meminta anak-anak murid supaya memanaskan badan dan juga guru akan membuka silibus buku teks sebelum melepaskan anak-anak murid bebas bermain sehingga tamat waktu.

Tidak kurang hebatnya juga dengan murid-murid perempuan ketika sesi PJK ini. Adanya yang membawa siap-siap getah untuk bermain lompat-lompat. Ada juga yang mengutip batu untuk permainan batu seremban.

Semua itu kenangan yang bakal kita kenang selamanya.

“Ustat, dulu Ustat sekolah sini kan ?”. Tanya Fakhrul.

“A ah, Ustaz sekolah disini dulu dari darjah 3 sampai darjah 6”.

“Ha apa ? Dah Jahannam?”. Celah Aiman Hakim yang cuba melawak.

“Uissh, kenapa cakap macam tu. Tak eloklah !”. “Jahanam tu bahasa kasar sangat. Tak sesuai dengan kamu”. Walaupun jahanam itu tidaklah sekasar bahasa carutan yang lain tetapi anak-anak ini tidak sepatutnya dibasahkan lidah mereka dengan carutan-carutan manusia.

“Ustat, dulu rumah apa?”. Tanya kembali Fakhrul selepas Aiman Hakim mencelah dan menyampuk.

“Ustat dulu rumah kuning. Ustat wakil kawad kaki pengakap”. Jawabku atas pertanyaan Fakhrul.

Dahulunya, ketika berada dibangku sekolah rendah memang aku seorang yang aktif dengan aktiviti kokorikulum dan sukan sekolah. Ingat lagi, ketika berada didarjah 5 tahun 2003. Aku terpilih untuk mewakili pasukan pengakap sekolah ke pertandingan kawad kaki peringkat daerah. Kenangan yang manis kerana berjaya memenanginya. Sehingga sekarang piala dari pertandingan tersebut masihku simpan.

Pencapaian dalam bidang sukan ketika dibangku sekolah rendah tidak begitu memuaskan. Dengan alasan aku mempunyai penyakit asma aku diketepikan dalam semua sukan yang aku minati. Pun begitu, aku berjaya membuktikan bahawa asma itu bukan sebuah masalah yang besar dengan berjaya mengharumkan nama sekolah Maahad Ahmadi didalam Ihtifal Tahunan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Sembilan.

Naib johan bergu badminton. Tidaklah segah mana, tapi kepuasan yang amat terasa apabila impian yang dipendam akhirnya menjadi kenyataan. Usaha ditambah dengan doa disertakan dengan tawakal, insyaallah pastinya berjaya.

Bersukan apa sahaja yang anda rasa perlu selagi mana sukan itu tidak bercanggah dengan ajaran agama. Paling penting, dalam sukan apa sekalipun adab-adab islam jangan pernah ditinggalkan.

“Akal yang cerdas dari Badan yang cergas”. Pesanku kali terakhir kepada anak-anak ini sebelum memasuki silibus pembelajaran.

Perkara Kecil Jangan Diremehkan.

“Ok, today we will learn how to write down Surah Al-Asr”. Sahaja aku berbahasa inggeris.
“Alaaa Ustat, tak fahamm lah”.

“Tahulah power bahasa inggeris jangan lah cakap bahasa inggeris”. Berontak Nureen Faqihah buat pertama kalinya. Sebelum ini beliau seorang yang dengar dan taat.

“Ok ok ok. Ustaz saja je tadi. Kamu semuakan belajar bahasa inggeris”.

“Ok, Insyaallah, hari ini kita belajar menulis Surah Al-Asr”. “Siapa hafaalll?”.

“Saya hafalllll”, sahut Amirah Sofeya.

Hari ini, anak-anak ini aku sajikan ilmu menulis Surah Al-Asr disamping membaca dan membetulkan bacaan mereka dalam misi menjadikan mereka generasi muslim yang bijak Al-Quran.

Dalam surah Al-Asr ini Allah s.w.t bersumpah dengan masa. Bahkan banyak lagi surah-surah di akhir bahagian Al-Quran ini Allah bersumpah dengan masa. Para mufassirin berkata hakikat Allah bersumpah dengan masa ini agar hamba-hambaNya mengambil cakna dengan pengurusan masa.
Walaupun ianya bukan perkara yang besar dalam kehidupan, namun masa memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan. Perkara yang tidak boleh diremeh temehkan.

Dengan masa, Ummat Islam boleh menjadi maju. Dengan masa juga Ummat Islam boleh jadi mundur. Masa juga boleh menjadikan Ummat Islam kuat dan lemah.

Oleh kerana itu, jangan diremehkan perkara kecil ini.

Hatta Baginda s.a.w juga memperingatkan kepada kita supaya kita meremehkan perkara yang kecil.
Dari kecill boleh jadinya perkara besar.

“Janganlah kamu memremehkan perkara kecil” (Hadis ini direkodkan oleh Imam Baihaqi).

Itulah yang aku sampaikan kepada anak-anak ini ketika dipenghujung sesi pembelajaran.

Kepentingan menjaga dan menguruskan masa perlu dididik sejak kecil lagi.

“Orang Islam mesti menjaga pandai menjaga waktu. Kalau tidak pandai menjaga waktu, kita sangat-sangat ruuuugi”. Pesanku di akhir waktu belajar.

Antara perkara yang selalu juga kita remehkan adalah nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan. Sehingga Nabi s.a.w berpesan 1400 tahun yang lalu tentang nikmat ini.

“Dua nikmat yang selalu dilupakan kebanyakkan oleh manusia. Nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan”(Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhori).

Ilmu Dipratikkan Bukan Disimpan.

“Bangun semuaaa”. Arah Irda kepada rakannya yang lain.

“Eh, Irda awak pulak yang bagi arahan”. Usik rakannya disebelah.

Aku tersenyum melhat gelagat mereka yang sering mengusik sesama sendiri.

“Mana ada semua !, sikit je ni.. tak sampai pun 5 orang”. Jawabku kepada Irda.

Jumlah kehadiran petang ini tidak ramai dan sangat sikit. Hanya 4 orang yang hadir. 3 anak-anak perempuan dan seorang sahaja dari golongan lelaki.

Lelaki melayu terakhir petang ini. Syazwan yang memang rajin hadir ke kelas KAFA ini walaupun disebelah paginya beliau tidak sekolah disini.

“Jomlah kita ke surau, kita buat amali solat dan amali wudhuk”.

“Jooommm”. Jawab mereka yang apabila mendengar perkataan surau mereka menjadi seronok. Ada 2 keseronokan yang perlu para muallim ambil cakna. Antara keseronokkan menjadi ahli surau yang memakmurkan surau atau keseronokkan keluar dari ‘penjara’ kelas.

Jika mereka seronok menjadi ahli surau itu memberikan alamat yang kemenangan islam makin hampir apabila golongan muda-mudi mula mencintai kembali rumah-rumah Allah. Jika tidak sekalipun, ianya merupakan tanggungjawab semua muslim untuk melahirkan generasi ini dan yang bakal memacu kegemilangan ummah.

Lebihnya tanggungjawab ini dipikul dibahu para muallim dek kerana masa anak-anak ini lebihnya disekolah. Rosak akar busuklah bunga.

Keseronokkan kedua yang perlu dirisaukan oleh para muallim apabila anak-anak ini seakan seronok keluar dari kelas untuk mencari ketenangan dan kebebasan dari beban pelajaran . Barangkali kelas itu seperti penjara bagi mereka.

Apabila minda disetkan secara tidak sengaja dengan kepenjeraan yang para muallim sendiri cipta maka masalah besar menanti kita 10 tahun akan datang. Generasi yang cintakan ilmu itu akan menjadi generasi bencikan ilmu.

“Ok, semua amik wudhuk. Ustaz nak tengok. Semua dah belajarkan?”.

“Dahhhh”. Jawab mereka serentak.

“Satu lagi, siapa yang baik dia ambil wudhuk tak kacau orang”. Larangku kepada bermain air. Namun, larangan ini berbentuk vice versa dari larangan yang selalu diddengar mereka.

“Jangan main air !”. Hasilnya main air juga.

“Jangan kacau kawan !”. Hasilnya habis bergaduh kerana tudung dan songkok basah.
Jesteru itu, kadangkala kita perlu menukar larangan yang berbaur negatif kepada ayat larangan yang positif dan bersifat ajakan kearah kebaikkan.

Anak-anak ini terus dengan amali wudhuk mereka. Ada yang berwudhuk dengan cincai ada juga yang serius mengambil wudhuk. Walaupun mereka mempelajari kaifiat untuk berwudhuk dengan sempurna namun apakah makna ilmu itu jika tidak dipraktikkan.

Kerana itu, Imam Al-Ghazali memandang serius tentang pengamalan ilmu yang telah dipelajari. Kata Al-Imam sesiapa yang tidak mengamalkan ilmu yang dipelajarinya bahawa dia telah berdosa dengan ilmu yang dipelajarinya. Imam Al-Ghazali turut berpesan bahawa ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Maha Pencipta.

“Ok, sementara tunggu waktu rehat. Jom baca doa iftitah”.

“Allahu akbar kabiera wa subhanallahi bukrotaun wa aseela…”. Mereka alunkan doa iftitah itu dengan lancar.

Habis doa iftitah terus mereka menyambung dengan Surah Alfatihah dan bacaan seterusnya hinggalah memberi salam. Ada yang tergagap-gagap. Ada yang lancar tanpa gagap. Namun, gagapan mereka itu tidak seserius gagapan mereka yang berada ditingkatan tiga.

Amat serius jika ada yang masih tergagap membaca tahiyat awal sedangkan sudah melangkah ke tingkatan 3. Bak kata orang, alam remaja dewasa. Kerisauan ini juga perlu di ambill perhatian oleh golongan agama.

Dewasa ini, golongan agama hanya bertekak isu cabang dari memikirkan nasib anak bangsa yang makin hanyut dengan dunia fantasi mereka.

Kemungkinan ilmu yang dipratikkan itu mungkin boleh menyelamat ummah yang sedang sakit dan merana.

“Ok, jumpa lagi minggu depan. Pesan pada kawan-kawan jangan lupa datang sekolah minggu depan ya”. Pesanku kepada anak-anak agar kawan-kawan mereka tidak tertinggal dengan pelajaran.

“Kat rumah jangan lupa apaaaaa?”. Soalku buat kali terakhir sebelum melepaskan mereka berehat.

“Solaatttttt”.

Ilmu tidak dipraktikkan umpama pohon tanpa buah.

Kaifa Haluka Ya Ustaz?

Waktu yang diperuntukkan untuk mereka berehat hanya selama 30 minit. Lama bagi yang tidak bermain sekejap bagi yang hanya rehat untuk mengisi perut dan mengecas tenaga.

“Ustaz, lepas ni belajar dimana?”. Tanya Nureen Faqihah yang hari itu tidak bermain. Hanya duduk makan dan memerhatikan kawannya bermain.

“Kita belajar di kantin lah ye”.

“Yeaayyyy”.

Hari ini mereka akan aku sajikan dengan asas-asas berkomunikasi dalam bahasa arab. Mudah, ringkas dan padat.

Habis rehat 30 minit semuanya kelihatan tidak selesa dengan keadaan diri sendiri. Mana tidaknya, bermain sakan. Ingat lagi pesan Ustaz Roikhan. Ketua warden Maahad Ahmadi.

Pesan Ustaz Roikhan “Kita ini nak kata sekolah sukan bukan sekolah sukan. Nak kata sekolah agama, memang sekolah agama. Tapi kita ni bersukan kalah sekolah sukan”.

Antara sebab kenapa Ustaz Roikhan memberi nasihat sedemikian dek kerana ketika itu ramai kawan-kawan yang bersukan hingga ke larut pagi. Sampaikan subuh juga terganggu.

“Saya ingatkan sekali lagi kepada semua, jangan ada yang lari dari sekolah selepas mak ayah kamu hantar ke sekolah. Kalau ada yang buat lagi macam kawan-kawan kamu buat 2 hari lepas saya akan hantar kepada guru besar”. Sir Malek memberi peringatan agar peristiwa yang berlaku tempohari tidak berulang lagi.

Bukan bermakna para muallim ingin melepaskan diri dari setiap masalah yang berlaku. Tetapi kadangkala masyarakat menyalahkan para muallim ini seakan-akan mereka bersalah 100%. Para muallim termasuklah aku, telah mencuba 100% untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak ini kadangkala hingga terpaksa menelan penat lelah itu bersendirian.

“As sa la mualaikum ya ustazzzz”.

“Walaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh”.

“Baca doa semua”.

“Allahummaftah alaina hikmataka …”.

“Ok. Hari tu kita belajar hari-hari dalam bahasa arab kan?”. Soalku kepda anak-anak ini untuk sedikit ulangkaji kepada mereka.

Ada yang mengganguk mengiyakan. Ada juga yang selak muka surat untuk mencari secebis kebenaran.

“Ok, kita ulang yang hari-hari dalam bahasa arab dulu, baru kita belajar yang baru”.
“Wahid, Isnaini , Salasa..”

“Yaumul ahad, Yaumul Isnaini, Yaumul Sulasak, Yaumul Arbi’ak, Yaumul Khomis , Yaumul Jumuah, wa akhiron Yaumul Sabtu”. Mereka mengulangi pelajaran dengan menyanyikan hari-hari dalam bahasa arab ini. Lagu yang mereka cipta sendiri.

“Ok, insyaallah, hari ini kita akan belajar macam nak tanya khabar kawan-kawan kita”.

“Kalau kita nak tanya khabar kawan lelaki kita senang je. Macam ini. Kayfa Haluka Ya Sodiqi”.

“Kay fa Ha lu ka Ya So Di Qi”. Ulangku perlahan-lahan.

“Ok, cuba ulang apa yang ustaz ajarkan tadi”. “Tunjukkan kawan kita sekali”. Mintaku kepada
mereka supaya mengulangi pertanyaan khabar itu.

Kali ini kami belajar tanpa ada papan putih. Hanya sekadar ada meja makan dan kerusi panjang. Suasana belajar kali ini kami yang cipta. Kami cipta suasana yang selesa dan seronok untuk belajar perkara baru.

“Macam biasa, beratur. Bawak buku, Ustaz tuliskan untuk sorang-sorang”.

“Lepas Ustaz tuliskan, terus hafal sampai lancar. Sebelum balik Ustaz nak dengar”.

Cukuplah bagi mereka menghafal hanya 2 pertanyaan. Itupun sudah 30 minit lamanya.

“Kayfa Haluka Ya Sodiqi ?”. “Kayfa Haluki Ya Sodiqoti?”. Suara yang sudah mula menghafal.

“Ushtat-Ushtat, kalau nak tanya apa khabar ustat macam mana?”.

“Oh, senang je”. Jawabku atas pertanyaa Farish.

“Kayya Haluka Ya Ustaz?”.

Penutup kelas petang itu kami sama-sama bertanya antara satu sama lain dengan jawapan dari pertanyaan tersebut.

“Kayfa Haluka Ya Sodiqi”. “Alhamdulillah, ana bikhoir”.

Kami generasi alquran !

“Demi masa, maka sesungguhnya manusia itu berada didalam kerugian. Kecuali mereka yang beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”. Surah Al-Asr.

Pengalaman Mengajar Erti Kehidupan | Teratak Ayahbonda 15 Mei


- Copyright © Selalu Berbicara -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -