Posted by : Mohd Asri Hj Zainal Apr 20, 2012



"Bangun semuaaaa", suaraku memberhentikan pekikan-pekikan murid tahun 1.

"Ok, bacalah doa. Baca kuat-kuat".

"Allahummaftah 'alaina hikmataka wansyur 'alaina min khozaini rohmatika ya arhamar rohimin". Jerit anak-anak ini dengan penuh semangat.

"Ini bukan baca kuat-kuat, ini menjerit namanya". Tegurku kepada mereka.

Masuk hari ini, sudah 7 hari aku bergelar Muallim Kafa. Walaupun kerja yang tidak seberat dan sesusah kerja seorang Doktor mahupun jurutera namun perlu aku sedar bahawa tanggungjawab ini sangat besar.

Pernah aku berdiskusi dengan seorang bakal pendidik. Jika tidak silap sekarang ini beliau sudah pun mulakan tugasnya sebagai seorang pendidik.

Dalam diskusi itu aku sengaja memprovokasi beliau dengan menyatakan bahawa tugas guru ini tiadalah susah mana.

Tidak dinafikan, kredibiliti bakal pendidik itu memang terserlah kerana pemikirannya bukan setakat jauh kehadapan bahkan pemikirannya tertumpu untuk membangunkan semula khilafah yang runtuh.

Bagi beliau, untuk merealisasikan impian itu perlu bermula dengan pendidikan sekolah rendah. Dan kerana itu jugalah, beliau berasa amat bersyukur kerana ditempatkan dan ditugaskan untuk mendidik anak-anak kecil sekolah rendah ini.

Amanah itu berat.

“Nampak macamlah senang je kan ajar budak sekolah rendah ni, tapi kan pendidikan awal sekolah rendah inilah yang membentuk mereka 20 tahun akan datang”.

“Amanah saya amat besar jika hendak dibandingkan dengan awak!”. Jawapannya yang menyerlahkan kepimpinan beliau seorang Khalifah dibumi Allah ini.

Sabda Rasulullah s.a.w,
“Tidak sempurna iman seseorang itu jika tidak menyempurnakan Amanah yang diberikan padanya”. (Direkodkan oleh Imam Ahmad didalam musnadnya).

Begitu besar kuasa Amanah apabila tidak berjaya melakukannya ianya mempengaruhi kehidupan didunia dan juga di akhirat sana.

Kerana itulah, aku merasakan bahawa tugas ini bukannya sekadar mengisi masa cuti semester pembelajaran bahkan ianya satu tanggungjawab dakwah yang perlu diselesaikan untuk memastikan kegemilangan Islam dirasai kita dan juga generasi yang akan datang.

Tidak mustahil pada zaman akan datang kelak jika kerja dakwah ini ditinggalkan isu murtad tidak lagi menjadi topik hangat didada-dada akhbar dan juga tidak sedikit memanaskan hati kita.

“Fakhruuull”. Nama-nama mereka memang sentiasa akan dipanggil setiap kali permulaan kelas. Kehadiran mereka perlu dicatit kerana kehadiran mereka ke kelas fardhu ain (KAFA) ini diambil kira sebagai penilaian kecemerlangan di anugerah kecemerlangan nanti.

“Aiman Hakimmm”.

“Ana haadir ya Ustaz”, jawab Aiman Hakim berbahasa arab.

Jumlah kehadiran hari ini seperti hari yang lain. Yang tidak hadir terus tidak hadir tanpa sebab. Yang hadir, terus bersemangat mengutip ilmu walaupun penat.

Aku teruskan sesi petang ini dengan menyemak kerja sekolah yang dibekalkan kepada mereka semalam. Tidaklah banyak hanya isi tempat kosong dengan jawapan yang tersedia dibuku teks.
Kerja-kerja yang aku bekalkan tidaklah membebankan mereka. Kerana aku tahu mereka berhadapan dengan waktu yang singkat untuk menyelesaikannya.

Ada di antara mereka walaupun sesi KAFA ini tamat jam 5 petang tetapi hanya sampai dirumah selepas jam 6. Kesibukkan ibubapa bekerja memanjangkan lagi waktu mereka berada disekolah.
Ada juga yang pulang awal. Namun, setibanya dirumah pastinya petang mereka dihabiskan bersama rakan sepermainan. Selepas maghrib, makan malam dan pastinya jam 10 sudah lena. Jadinya mereka hanya mempunyai 1 hingga 2 jam untuk menyelesaikan semua tugasan sebelum mata lena dibuai mimpi indah seorang anak kecil.

Aku juga pernah melalui saat itu.

Jesteru, tidaklah aku ingin membebankan mereka yang hanya kerana ingin mengejar kecemerlangan sebagai seorang pendidik tanpa mengambilkira keseimbangan emosi (EQ) seorang murid yang hanya berusia 7 tahun.

Adab Yang Selalu Tercicir.

“Bismillahirrahmanirrahiiimmm…”, baca anak-anak ini dengan penuh semangat.

Aku meminta membaca surah 3 Qul sebagai penutup pada sesi pembelajaran kali ini. Disamping itu, disepanjang pembacaan mereka itu akan aku betulkan bacaan jika mereka membacanya dengan tidak mengikut tajwid.

“Weeyyyhh !!!”, jeritku menahan kesabaran.

“Kenapa kamu baca macam ni ! Main-main pulak !”.

Kesemua anak ini berhenti membermain dengan bacaan mereka.

Kelas tiba-tiba menjadi sunyi.

“Bukan ke sebelum ini Ustat ade tegur jangan main-main masa baca Al-Quran ?”. Tanyaku dengan suara yang sedikit tinggi.

“Janganlah buat macam ini. Macam mana nak pandai baca AlQuran kalau main-main”.

“Ini amaran terakhir Ustat, kalau lepas ini main-main lagi masa baca Ustat rotan semua”. Sambil memegang bulu ayam, aku sampaikan amaran itu agar mereka lebih beradab.

Perkara ini selalu ditinggalkan hampir segenap lapisan masyarakat. Adab ketika membaca AlQuran. Oleh kerana ianya selalu ditinggalkan oleh kita maka natijahnya hati kita susah untuk menerima isi kandungannya.

Pesan Imam Nawawi dalam tulisannya supaya dijaga adab-adab ini supaya kita mendapat kesempurnaan AlQuran itu meresapi dalam jiwa kita sebagai seorang hamba Allah.

Anak-anak ini perlu aku dedahkan mereka dengan perkara sebegini supaya mereka terdidik lebih awal untuk menjadi pembela AlQuran kelak. Namun, aku sedari bahawa mereka hanya anak-anak yang masih merangkak membaca AlQuran yang perlukan banyak bimbingan dan perhatian dari aku dan juga ibu bapa mereka.

Usaha perlu ditingkatkan supaya satu hari nanti AlFateh moden muncul mengembalikan sinar suci Islam.

Sesi pembelajaran kali ini tamat dengan suasana kelas yang amat sunyi. Mungkin sunyi mereka memikirkan kesalahan yang perlu dibaiki segera. Mungkin juga, sunyi mereka hanya kerana melihat Muallim mereka naik angin dengan kelakuan mereka.

Muallim yang mereka baru kenali selama 7 hari sebelum ini hanya mengukir senyuman dengan kerenah bertukar menjadi Hulk seketika.

Kelas darjah 2 hari ini tidak banyak suara. Ketika mana aku sampai dimuka pintu mereka sedang tekun menyiapkan tugasan yang dibekalkan oleh Ustazah Syarfiza.

Kelihatannya mereka menyalin semula hokum tajwid yang dipelajari dari buku teks ke buku tulis. Kaedah ini memudahkan mereka mengingati pelajaran yang mereka pelajari hari ini.

Hari ini kami hanya menyemak silibus-silibus pelajaran Fiqh Al-Ibadah. Berikutan peperiksaan akhir tahun semakin hampir risau jika ada silibus yang masih belum di ajar. Sekurang-kurangnya jika ada silibus yang tercicir atau belum disentuh aku menyedarinya lebih awal dan boleh di ajar supaya anak-anak ini bersedia untuk menempuhi peperiksaan akhir tahun.

Insyaallah, jika mereka usaha pastinya kejayaan milik mereka.

“Jangan lupa buat latihan yang Ustat bagi tadi. Solat jangan tinggal. Ok?”, pesanku sebelum meninggalkan mereka untuk minggu kedua ini. Jumaat, sabtu dan ahad hari cuti mereka dari kelas ini.

“Okkkkkk, baik Ustatt”. Jawab mereka beramai-ramai.

Rehat yang Gempar .

“Ustaz Asri, Ustaz ada nampak Karimah tak ?”, tanya Sir Malek kepadaku.

“Hurm, yang darjah 4 tu kan Sir ?”, tanyaku kembali mendapatkan kepastian.

Sir Malek mengangguk. “Ye”.

“Tak nampak Sir”.

Kelihatannya seperti Sir Malek sedang cemas. Mungkin ada sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Macam-macam bermain difikiran ini. Namun tidaklah aku zahirkan apa yang bermain difikiran itu kepada Sir. Kadangkala sangka menyangka ini boleh membawa kepada dosa. Kerana itu, perlu berhati-hati ketika sangka menyangka sesame kita.

“Ayah dia datang dan mengadu anaknya tiada disekolah, walhal ayah dia dah hantar ke sekolah”. Kata Sir Malek.

“Uissshh, macam mana tu Sir?”. Tanyaku dengan keadaan mula gelisah dengan peristiswa ini.
Pertama kali menjadi pendidik dan pertama kali juga berhadapan dengan situasi sebegini. Mungkin Allah sedang bukakan untukku ruang mempelajari method dakwah yang sesuai apabila berhadapan dengan situasi seperti ini.

“Tak pe Ustat, biar saya yang uruskan”. Kata Sir Malek yang mula kelihatan tenang.

Apa situasi yang kita hadapi dalam kehidupan ini kita perlu hadapinya dengan bijak. Itu yang selalu aku pelajari dari tokoh-tokoh hebat dalam mengurus situasi dan masalah.

Hatta, Baginda s.a.w juga amat bijak menguruskan situasi ketika ingin memulakan hijrah Baginda ke Madinah. Taktik dan strategi dalam berdakwah amat jelas membantu keberkesanan dakwah.

Perhimpunan selepas rehat hari ini sedikit lama berbanding sebelum-sebelum ini. Sir Malek yang merupakan penyelia KAFA sekolah ini mula memberikan nasihat supaya peristiwa hari ini tidak kembali lagi.

Tidak dinafikan Karimah memang menjejakkan kakinya kesekolah. Namun, tikamana ayahnya hilang dari pandangan Karimah langsung melencong ke tempat lain bersama rakannya.

Tidak pasti kemana.

Mungkin sahaja, ke Taman Rekreasi. Mungkin sahaja ke pusat bandar. Tidak tahu arah tujunya.

“Kes macam ini , memang selalu jadi Ustat”. Sir Malek mula bersuara kepadaku selepas melepaskan anak-anak ini.

“Budak-budak ni ponteng sekolah, lepas tu mak ayah mulalah risau dan salahkan sekolah”.
Aku khusyuk mendengar nasihat dari otai muallim.

“Kita pihak sekolah bila jumpa masalah macam ini, kita kena pandailah selesaikan. Sebab itu, saya nasihatkan jangan amik attendance selagi belum setengah jam kelas bermula”.

“Kalau dah setengah jam kelas bermula, lepas tu diorang(anak-anak murid) tak datang, mereka bukan bawah tanggungjawab kita”. Nasihat Sir Malek.

Memang selalu sekolah disalahkan atas kecuaian dan kenakalan anak-anak murid ini. Kadangkala hampir 100% masalah itu dikembalikan bulat-bulat kepada pihak sekolah tanpa memikirkan ada faktor lain yang mempengaruhi kewujudan masalah itu.

Bosan dengan pelajaran. Mungkin !

Tugas guru kafa tidak terhenti setakat mengajar Alif Ba Ta , namun tugas yang lebih penting untuk memanusiakan murid dengan pelajaran yang ada.

Bahasa Arab Bahasa Syurga.

“Ustaz, bahasa arab susahlah Ustaz”. Adu Haziqah sebaik aku sampai disurau untuk kelas bahasa arab bersama darjah 5.

“Hari tu kan Ustaz, percubaan saya main taram je Ustaz”. Adu lagi Syafikah.

“Kau memang, main taram je lah !”. Fatimah cuba memanaskan suasana.

“Eleh, kau pun sama je”.

Masuk hari ini, hari yang kedua aku bertemu dengan darjah 5. Kelihatan mereka sangat sibuk mengulang kaji pelajaran untuk menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) tidak lama lagi.

Banyak urusan yang perlu diselesaikan bersama mereka. Urusan untuk memudahkan mereka menguasai bahasa syurga.

“Tak susahlah, cakap susah memang susah lah dia”.

“Insyaallah, kamu boleh lah. Senang je bahasa arab ni. Ustaz dulu macam kamu jugak”.

Bahasa arab ini sememangnya mudah jika kena dengan cara pembelajarannya. Aku tidak merasakan bahawa untuk tahap darjah 5 ini perlu sehingga menghuraikan panjang lebar tentang kaedah-kaedah tatabahasa.

Cukuplah sekadar yang termaktub di buku teks mereka sebagai permulaan supaya mereka selepas ini lebih berminat dan bercinta dengan bahasa syurga.

"Cintailah orang Arab kerana tiga perkara, Kerana aku adalah orang Arab, Al-Qur’an itu berbahasa Arab dan Bahasa Arab adalah Bahasa Syurga”. (Hadith ini direkodkan Hakim, Thabarani dan Baihaqi)

Tidak banyak yang kami pelajari hari ini. Hanya sekadar menelaah bab jam didalam bahasa arab.
Kaedahnya ada.

Mudah dan cepat diingati. Kaedah ini aku pelajarinya ketika berada ditingkatan 2 di Maahad Ahmadi.

Ustazah Salmah yang mengajarkan aku tentang itu sehinggakan aku amat mencintai bahasa arab.
Nikmat yang perlu dikongsi bersama.

Minggu kedua ini, memberikan banyak coretan manis dalam diari ku sebagai seorang Muallim Kafa. Namun, tanggungjawab yang masih dipikul akan sentiasa menjadi ‘pemukul’ kepadaku jika terlalai mengajarkan mereka erti kehidupan.



“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. Surah Al-Ahzab ayat 72.

Pengalaman Mengajar Erti Kehidupan | Teratak Ayahbonda 15 September 2011



- Copyright © Selalu Berbicara -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -