Posted by : Mohd Asri Hj Zainal Feb 20, 2012

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

"Macam mana ya Akhi nak jadikan dakwah kita ini lebih mapan". Soal seorang ahli usrah ketika duduk berbincang mengenai isu semasa.

"Kenapa? Apa tak cukup hebat lagi kah usaha dakwah kamu?". Tanya saya sambil terus fokus pada bibirnya.

Dia menggeleng. "Entahlah Akhi, rasanya dah habis pulun dah. Sesuai dengan kemampuan saya yang masih belajar".

Saya mengangguk. Dia selalu teliti dalam gerak kerjanya. Jarang kerjanya di'cincai'kan.

"Saya dah berblog. Saya dah berdakwah melalui pena. Sudah juga turun ke lapangan masyarakat. Tapi kan Akhi, hasilnya tak berapa lah. 'Down' saya macam ni". Mengeluh kesah akibat hasil dakwah itu tidak kelihatan.


Saya menggeleng. "Ishh, jangan macam tu akhi, berdakwah ini bukan macam berniaga. Nampak hasil depan mata. Berdakwah ini macam tanam jagung. Tidak senang dan tidak susah kalau kena caranya".

Matanya membesar seketika. "Haa? tanam jagung. Macam mana tu, banyak sangat perumpamaan yang enta bawak. Selalu saya tak faham"


Analogi berdakwah seperti menanam jagung tidaklah sebaik mana-mana analogi yang lain. Cuma ketika sibuk berbincang dengan rakan-rakan tentang dakwah idea tentang itu muncul. Nabi pun pernah bersabda bahawa orang mukmin itu berjihad menggunakan ketajaman pedangnya dan ketajaman lidahnya iaitu kehalusan bahasanya. Dan kerana itu juga banyak penulisan kadang kala mampu menjadi 'booster' kepada seseorang untuk mendapat hidayah Allah.

Itu pun sudah dikira sebagai dakwah. Dakwah dengan mata pena.

"Tanam jagung ini mengambil masa yang sangat lama. Mulanya kena gemburkan tanah supaya tanah itu segar semula. Kemudian semai biji benih jagung dalam tanah. Lepas semai tu banyak perkara lagi yang perlu kita buat untuk jadi tanaman jagung kita berhasil".

"Hurm, saya masih tak nampak lagi apa yang cuba disampaikan". Dahinya mula berkerut.

Saya cuba memperlahankan cara penyampaian yang laju agar dia boleh memahaminya.

Analogi yang spontan.





Ketika menanam jagung banyak perkara yang perlu di ambil cakna. Kualiti benih yang disemai. Kualiti tanah yang digemburkan serta kualiti baja yang bakal digunakan. Apabila perkara-perkara asas ini dihadam terlebih oleh petani pastinya hasil jagung akan berkualiti dan enak.

Disamping itu, dalam tempoh pokok jagung membesar sehingga mengeluarkan hasilnya parasit-parasit juga perlu diawasi. Jika dibiarkan parasit itu tumbuh bersama pokok jagung, takut akan terhasil hasil jagung yang begitu menyedihkan dan merugikan.

Oleh kerana itu, sebagai petani yang mahukan hasil yang luar biasa banyak perkara perlu di ambil cakna. Pastinya, usaha gigih dan keringat perlu dikerah setiap masa. Penat? Itu sudah pasti menanti kita.

Selepas berusaha untuk memastikan yang terbaik untuk pokok jagung tersebut. Maka selebinhya, serahkan kepada Allah Maha Kuasa. Itulah sunnatullah dalam kehidupan seorang muslim yang baik. Tempoh 80-150 hari diperlukan untuk pokok jagung menghasilkan jagung yang matang dan masak ranum. Tempoh yang sangat lama jika dibandingkan dengan tempoh penanaman taugeh. Kesabaran, ketelitian dan kesetian di uji ketika ini.

Perjuangan tidak kenal erti penat.

Begitu juga dalam berdakwah. Banyak perkara yang perlu dipersiapkan. Seorang daie tidak boleh semborono terjun dalam bidang dakwah tanpa ada persiapan yang utuh. Persiapan fizikal, mental dan material yang penuh berstartegi akan membantu melicinkan lagi jalan dakwah yang kita lalui.

Fizikal yang kuat. Cergas dan cerdas. Sebanyak sedikit membantu kerja ini menjadi licin dan mencapai objektifnya. Pernah satu ketika berada dibangku sekolah, saya lihat ramai yang menyertai Jamaah Tabligh untuk berdakwah. Ada yang keluar 3 hari. Ada yang 40 hari. 1 tahun pun ada. Namun, ketika itu ada seorang yang keluar berdakwah dengan keadaan dirinya kurang sihat. Natijahnya hanya mampu duduk disurau sementara jemaah yang lain terus keluar berdakwah.

"Minda yang cerdas datang dari Badan yang cergas"


Perjuangan ini tidak kenal penat lelah. Perjuangan ini tidak perlukan orang yang banyak alah. Perjuangan ini perlukan orang yang betul-betul komited dan konsisten.

Mental turut perlu disediakan agar tidak cepat melatah. Ramai yang berdakwah namun akibat persiapan mental yang tidak rapi akhirnya tersungkur akibat cercaan dan dugaan yang diterima. Namun, apalah sangat jika ingin dibandingkan dengan cercaan dan dugaan yang diterima oleh Baginda s.a.w . Jauh sangat bezanya !

Ketika berada didalam landasan ini antara yang perlu di ambil cakna juga adalah material dajwah itu sendiri. Situasi perlu difahami. Kondisi perlu disedari. Jangan menjadi seperti tupai membaiki labu dek kerana ketidaksesuaian material dakwah.

Material canggih vs Audience berumur




"Tuan-tuan, hidup ini adalah pinjaman..bla..bla." Diri tegak seorang Ustaz

"Hebat sungguh peralatan Ustaz ini berkuliah. Siap LCD, Projektor, Laptop, Tablet. Perghh !"

Jemaah sunyi sepi.

Terus menongkat dagu dan terus membelek jam.

Kuliah jadi hambar walaupun material dan peralatan begitu hebat dan lengkap.

"Kenapa kuliah Ustaz tu hambar", Tanya saya kepada seorang teman tikamana berhenti rehat disebuah masjid di Negeri Pahang.

"Sebab Ustaz tu syok sendiri. Bahan kuliahnya, cara penyampaiannya semuanya dibuat ikut situasi dia bukannya ikut situasi dan kondisi jemaah". Jelas teman tersebut dengan nada kesal.

Saya mengangguk kefahaman.

Material perlu disediakan mengikut kesesuaian para mad'u (orang yang hendak didakwah). Tidak boleh seorang pendakwah berdakwah dengan mengikut keinginannya jika tidak makin ramai akan jauh dengannya.

Resepi dakwah yang mujarab.

"So far enta faham?". Tanya saya kepada teman yang mengeluh sebentar tadi.

"Ok..0k, setakat ini saya dah faham analogi tu. Terima kasih".

Saya mengganguk sambil mengukir senyuman.

"Tapi jangan lupa perkara penting dalam berdakwah ini. Resepi utama dan mujarab dalam dakwah ni".

Matanya kembali membesar kepelikan. "Haaa, tadi tanam jagung, kali ini resepi pula. Nak masak apa ni syeikh".

"Nak masak enta ! ". Berseloroh.

"Ingat tak tentang parasit ketika menunggu pokok jagung membesar?". Tanya saya kembali.

"Ingat".

Dalam berdakwah ini juga banyak parasit yang menghantui gerak kerja. Parasit ini juga memberikan kesan yang amat negatif dalam dakwah.

Ingin popular dengan dakwah. Ingin traffic tinggi jika berblog. Ingin dikenali dan dihormati. Semuanya perasaan 'ingin' ini menjadi parasit dalam dakwah kecuali satu. Ingin mencapai redha Allah.

Namun, resepi untuk menjadikan dakwah ini tidak berparasit sudah lama tersedia. IKHLAS resepi paling utama untuk berdakwah. Jika resepi ini hilang maka hilanglah sengat dalam berdakwah.

"Aku perlu tulis banyak-banyak dalam blog. Biar trafik meningkat. Bila trafik meningkat kemungkinan blog aku jadi sasaran untuk orang letak iklan. Aku dapat benefit!"

"Huh, ceramah aku kena bes-bes. Baru dapat menarik orang. Bila orang tertarik mesti banyak dapat undangan dapat akhirnya aku popular. Senang sikit nak berdakwah".

"Pangkat Dato' ini membuatkan aku lebih senang berdakwah !"

Jangan dikejar semua ini. Jangan dicari semua ini. Biarlah kita terus lakukan kerja ini dengan ikhlas dan nanti Allah akan berikan semua ini secara tunai.

Tidak disini, Allah akan bayar disana.

Itu pasti.

Kisah Populariti Sengsara.

Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".

Dibalas, "Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar - pejuang yang berani".

Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al Quran".

Dijawab semula, "Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".

Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"

Dijawab semula, "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan". Lalu dia telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. (Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah)


"Begitu lah akhi. Saya dapat kongsikan sedikit demi sedikit apa yang saya tahu. Mudah-mudahan ianya menjadi pengajaran dan pedoman untuk kita terus kuat".

"Tak perlu risau dengan trafik blog enta. Jangan risau dengan tiada pembaca. Jangan risau dengan tidak dikenali ramai. Tapi risau jika hati mula berparasit !".

Kami tersenyum.

Sesungguhnya, kerja ini memerlukan komited yang tinggi dan himmah yang berterusan. Lengkapkanlah diri kita dengan ilmu agar tidak muda ditipu.

"Kewajipan itu melangkaui masa yang ada", Imam Hassan Albanna.

Pengalaman Mengajar Erti Kehidupan | Teratak Nasyatilla 1344pm

- Copyright © Selalu Berbicara -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -