Posted by : Mohd Asri Hj Zainal Sep 10, 2011

"Saya Guru Cemerlang!"

Hari ini aku tinggalkan rumah tepat jam 12. Ayah sedikit pelik kerana selalunya Jam 2 baru aku keluar.

"Pergi mana?", tanya ayah.



"Ayie nak ke KAFA, tapi sebelum tu nak uruskan urusan untuk program di Sabah", Ayah mengangguk.

Usai berurusan dipejabat pos, kedai faks dan kedai photostat yang memakan masa hampir 1 jam 30 minit terus aku ke Masjid. Aku nak mengadu pada yang Maha Esa. Kadangkala kejayaan yang datang itu selalu kita lupa datangnya dari Dia. Natijahnya 'tergolek' kita sebelum menempa kejayaan kali ke-2.

Tatkala ini, hati aku amat gelisah dek banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Faks, photostat, dan solat semua telah aku kerjakan. Mudah-mudah urusan itu Allah permudahkan. Aku percaya tekanan dalam kehidupan itu perlu untuk memastikan gerak kerja kita teratur. Ketika aku menyertai Nadwah Kepimpinan Pemuda di Port Dickson bulan ramadhan lalu, inilah yang aku perolehi. Tekanan itu akan menguntungkan jika pandai menguruskan.

"Huh, awal gila aku sampai sekolah hari ini", desus hatiku. Jam tepat menunjukkan 1.55 petang.

Saat pintu dibuka pastinya anak-anak kecil ini sedia menantiku. Walaupun berpeluh-peluh dek bermain 'police and thief' aku tetap terima penghargaan mereka menunggu saat tibanya aku ke sekolah.

"Ustaz, biar saya bawa beg ustaz", pinta Syazani.

"Tak pe, biar ustaz bawa".

Satu perkara yang perlu kita tahu, hati anak-anak ini suci dan bersih dari dosa. Sebahagian besar mereka juga bercakap benar dan jujur. Oleh kerana hal itu, perlunya kita cakna dan setiap percakapan yang mereka ungkapkan.

"Berattturrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr", jerit Syazani yang merupakan ketua pengawas disesi petang. Tubuhnya kecil, perwatakannya ceria dan manja.

"Ustaz, nak cakap apa-apa ke?", tanya Ustazah Laili.

"Eh, eh, tak de, tak de".

Usai mereka membaca doa penerang hati terus aku minta pelajar tahun 1 ke kantin. Hari ini aku akan mengajar subjek Tilawah AlQuran dikantin. Sahaja aku ingin ubah angin. Ada juga tenaga pengajar yang pelik aku mengajar dikantin. Bukan apa, aku hanya inginkan pelajar-pelajar ini lebih rapat denganku dan merasai angin-angin baru.

"Ustat, kenapa, kenapa kita belajar kat sini ustat", Shazanani Nabilah yang sedikit gemuruh.

"Saja je, nak amik angin baru, asyik dalam kelas je..", jawabku bersahaja.

Aku selalu impikan suasana pembelajaran yang kondusif agar anak-anak ini sentiasa cinta untuk menuntut ilmu.

"Ok, siapa dah siap kerja yang ustaz suruh semalam?"

Ad yang siap, ada ramai yang tidak siap. Itulah hakikat kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah rendah. Semuanya tidak di ambil kisah. Teringat ketika aku dibangku sekolah rendah, setiapkali aku tertidur ketika membuat kerja rumah pasti ummi atau ayah yang lakukannya untuk aku. Kadang-kadang sengaja buat-buat tidur.

"Yang tak siap, siapkan dahulu dan yang siap meh jumpa Ustat, Ustat nak tanda".

Dan antara kegemaran dan kesukaan anak-anak ini apabila kerja mereka diberikan bintang.

"Eh, kau dapat berapa bintang?"

"Ha ha ha, bintang kau sikit, bintang aku banyak".

Pastinya mereka akan mempersoalkan kepadaku tentang jumlah bintang yang diberikan. Aku hanya memberikan 5 bintang kepada anak-anak yang kemas tulisannya dan siap kerja pada waktunya. Hanya dengan bintang itulah menjadikan mereka rasa seperti dihargai. Aku masih lagi mempelajari psikologi kanak-kanak dan orang dewasa. Rasanya itu satu keperluan bagi seorang pendakwah. Mudah untuk kita dekati mereka apabila kita sudah mempelajarinya.

Usai kelas bersama mereka aku teruskan lagi perjuanganku bersama darjah 2. Hari ini, aku rasa tidak maslah dengan emosi. Setelah sehari mempelajari erti menjaga emosi semalam dan hari ini nyaman rasanya.

"Bangun semuaaaa".

Habis doa dibaca terus aku lakarkan dipapan putih garisan pemisah untuk lelaki dan perempuan. Hari ini kami akan berkuiz. Kuiz bab Istinjak dan Hadath. Mudah dan ringkas. Namun, ada juga yang mengelat. Mnegelat kerana dek malas nak berinteraksi dengan. Seorang anak ini cukup aktif berlari-lari didalam kelas.

"Ustat, saya nakalkan?", geli hati aku mendengar soalan ini. Jujurnya soalan ini aku tidak mampu menjawabnya.

Kuiz akhirnya berakhir dengan semuanya dapat duduk semula. Mula-mula ku inginkan lelaki berlawan minda bersama perempuan. Tetapi anggota lelaki tidak cukup. Jadi, ku tukarkan cara kuiznya. Siapa yang dapat soalanku sahaja dibenarkan untuk duduk.

Ada yang curi-curi lihat jawapan dari buku. Ada yang jawab dari penghafalan. Habis kelas bersama mereka, mereka terus menuju kekantin untuk berehat.

Namun rehat bukan tujuan mereka bergegas kesana. Yang mereka kejarkan hanya permainan seladang dan 'sip tiang'. Semuanya mengingatkan ku kenangan silam dahulu kala.

"Saya puasa hari ini ustaz, kalau tak saya dah keluar minum dah", Sir Malek menyapa.

"Ada waktu ni saya nak habiskan cepat, kalau tidak liat ustaz", tambahnya lagi.

Malu aku pada dia. Kuat sungguh azamnya untuk menghabiskan puasa enam. Tambahan Sabda Baginda yang memberi kekuatan motivasi kepada mereka yang ingin berpuasa. "Sesiapa yang berpuasa dibulan ramadhan kemudian diikuti 6 hari dibulan syawwal seakan-akan dia berpuasa sepanjang tahun", Hadith Riwayat Imam Bukhori.

Ditengah-tengah perbualan aku dan Sir Malek, ada dia tekan bahawa pentingnya mempelajari tulisan jawi. Kepentinganya sehinggakan mereka yang tidak mempelajarinya mungkin susah untuk membaca AlQuran. Ini juga yang disampaikan oleh Ayahanda Ustaz Zulkarnain ketika mengajarku balaghah.

Sepatutnya, selepas rehat aku akan mengajar bahasa arab ditahun 5 tapi kerana mereka sedang menjalani ujian percubaan UPKK aku di arahkan untuk menggatikan kelas Ustazah Shafiza yang mengajar tahun 1.

"Haii, jumpa lagi...", sapa aku.

"Eh, ushtat laaa", Isabella yang sentiasa suka bergurau denganku.

"Haaa, Ustat la, takkan Ustazah kot", jawabku yang menjadikan kelas bersoloroh semuanya.

Sepatutnya mereka pun belajar bahasa arab ketika ini. Tapi kerana aku tidak mengetahui silibus mereka sehingga mana, aku arahkan mereka turun kesurau untuk solat asar dan belajar amali solat.

Seperti biasa, untuk turun sahaja kesurau mengambil masa 10 minit. Lampu dan kipas kelas pasti tidak tertutup suisnya. Akhirnya antara skop kerjaku adalah menutup suis.
Arahan terus ku berikan kepada mereka. Ambil wudhuk dan terus duduk senyap didalam surau.

Sampai disurau, adegan simbah menyimbah menjadi satu kepastian. A simbah B, B simbah C dan C pula akan simbah A. Natijahnya, semua akan tersimbah termasuklah ustaz mereka.

"Ustaz, Danish simbah saya Ustaz", sudah ku agak aduan itu.

"Tak pa, nanti Ustaz simbah dia balik", jawabku menyenangkan hati pengadu.

Pelajar Muslimat pun tidak kurang nakalnya. Cuma mereka ini betindak dalam senyap. Ada yang lari-lari tidak tahu arah tujuan. Pabila ditanya kenapa, mereka hanya tersenyum menunjukkan gigi. Gigi yang cantik!

"Kenapa tak pakai telekung lagi ni?"'

"Telekung besar lahhh".

"Kenapa tak bawak dari rumah?".

"Kat rumah tak de telekung ustaz", jawab jujur seorang anak ini.

Apabila jawapan seperti ini diberikan kepadaku langsung aku terdiam seribu bahasa. Mudah-mudahan ada jalan untuk anak ini. Hari ini pelbagai strategi dirancang untuk menjamin kualiti pembelajaran. Dari satu tempat ke satu tempat hanya untuk menambah perisa. Perisa bukan setakat dalam masakan tapi dalam setiap perkara.

Sebelum mengakhiri sesi pembelajaran, aku pesan kepada anak-anak ini agar jangan ditinggal solat dan kerja yang dibekalkan agar disiap. Ummah Membaca Ummah Berjaya !

Hari Mengatur Strategi!

Pengalaman Mengajar Erti Kehidupan | Teratak Ayah Bonda 8 Sept

- Copyright © Selalu Berbicara -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -