Posted by : Mohd Asri Hj Zainal Jan 28, 2011

Kebimbangan Negara Arab Lain

Kebangkitan rakyat Tunisia yang dicetuskan oleh Bouazizi sehingga menggulingkan rejim Ben Ali telah menimbulkan kebimbangan yang bukan sedikit kepada jiran-jirannya dan seluruh rantau Arab.

Ini jelas digambarkan melalui ucapan Setiausaha Agung Liga Arab, Amir Moussa, yang mengingatkan para pemimpin negara Arab bahawa mereka juga berisiko menghadapi kebangkitan rakyat yang sama seperti yang berlaku di Tunisia.

Beliau mengatakan bahawa kemarahan rakyat di Timur Tengah sudah mencapai ke puncaknya.

“Hati dan jiwa Arab sudah hancur oleh kemiskinan, pengangguran dan resesi,”

Demikian katanya dalam ucaptamanya semasa membuka Konferensi Peringkat Tertinggi Liga Arab di Sharm El-Sheikh, Mesir, pada hari Rabu 19 Januari 2011.

Seterusnya beliau mengingatkan bahawa;

“Revolusi Tunisia tidak jauh dari kita,”

Dalam ucapannya yang dipetik oleh BBC, Amir Moussa menyeru kepada para peserta persidangan berkenaan, agar reformasi politik dan ekonomi berjalan seiring.

Perubahan politik di Tunisia yang berlaku ekoran kebangkitan rakyat sudah pastinya telah mencetuskan harapan kepada seluruh warga Arab untuk melihat hal yang sama berlaku di negara mereka.

Situasi sosio-politik dan ekonomi yang hampir sama seperti Tunisia di kebanyakan negara Arab pastinya akan mengobarkan semangat mereka untuk melakukan perkara yang serupa sepertimana yang telah dilakukan oleh saudara mereka di sana.

Paling utama, selepas Tunisia, antara negara lain yang mempunyai potensi ke arah kebangkitan rakyat ialah jirannya iaitu Algeria dan Mesir. Protes secara besar-besaran bukanlah perkara asing di sana. Namun kerajaan tidak menunjukkan minat untuk berubah…bahkan mereka dihalang dengan kekerasan.

Walaupun disekat dengan pelbagai cara, manakala pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan hak rakyat ditangkap, potensi untuk meletusnya protes baru dan seterusnya revolusi bagi menolak rejim lama pasti ada…kesan daripada semangat Bouazizi.

Sejarah Tunisia

Tunisia adalah sebuah Negara Islam Afrika Utara yg menghadap bahagian tengah Laut Mediterranean dan bersempadan dengan Libya. 40% daripada bentuk muka buminya adalah Gurun Sahara. 99% daripada penduduknya adalah beragama Islam.

Selama ratusan tahun semenjak abad ke-16, Empayar Turki Othmaniah telah menguasai kawasan Afrika Utara termasuk wilayah Tunisia.

Daulah Islam ini telah berjaya membina sebuah pentadbiran yang stabil di situ.

Bermula tahun 1547 Masehi, ke­damaian, kesejahteraan dan keselamatan yang sebenar mula dinikmati di Tunisia apabila Turki Othmaniah mula memerintah.

Era keemasan ini ber­terusan sehinggalah berlakunya penaklukan oleh Perancis pada tahun 1881.

Perancis mendapati agak sukar untuk menyekat dan menghalang protes-protes dan juga pemberontakan rakyat Tunisia yang dilengkapi dengan kesedaran Islam yang kuat.

Perancis kemudiannya telah melantik Habib Bourgiba yang boleh dipercayai bagi mengetuai kerajaan boneka itu.


Presiden Habib Bourguiba (July 25, 1957 – November 7, 1987) digelar Mustafa Kamal Atarturk Tunisia

Sewaktu zaman mudanya, Habib Bourgiba berpura-pura berjuang bagi mendapatkan populariti dengan cara menentang pentadbiran kolonialis Perancis.

Beliau telah memasuki penjara selama beberapa kali, dan cuba untuk me­non­jolkan imej sebagai seorang hero popular dengan melarikan diri dari Tunisia ke Kaherah. Sekembalinya ke Tunisia, beliau cuba untuk mempengaruhi rakyat supaya memberontak menentang Peranchis.

Apabila pendudukan Perancis berakhir pada 1956, beliau menjadi wakil Perancis di negara tersebut.

Habib Bourgiba telah menjadikan Tunisia bergantung sepenuhnya kepada Perancis dari segi budaya, ekonomi dan politik. Malah kekayaan Tunisia turut dipindahkan ke Perancis.

Beliau tidak memberikan keutamaan kepada umat Islam Tunisia, sebaliknya memberikan keutamaan tersebut kepada French Great Lodge.

Tindakan pertama Bourgiba adalah menukar sistem pendidikan dan undang-undang yang serupa dengan Perancis.

Beliau telah menjadikan masjid berada di bawah perhatian yang sangat rapi dan melarang melakukan solat di luar waktu-waktu yang tertentu.

Beliau juga telah menutup institusi-institusi pendidikan Islam, bermula dengan Universiti Zaytoona yang menjadi simbol syiar Islam di Tunisia selama ini. Universiti Zaytoona ini memiliki peranan dan fungsi yang sama seperti University al-Azhar di Mesir ketika ini.

Lebih teruk, pada Bulan Ramadan yang mulia, beliau telah muncul di kaca televisyen dengan segelas minuman di tangannya dan telah menghalang rakyat dari berpuasa, dengan alasan “ia melembapkan perkembangan negara dan kemajuan pekerjaan.”

Semasa musim Haji, Habib Bourgiba mahukan jemaah haji pergi ke Qairawan, iaitu bandar suci Maghribi, dan tidak pergi ke Mekah, kerana perjalanan ke Mekah melibatkan kos yang lebih tinggi.

Selain itu beliau juga menyokong Perancis yang menentang kebangkitan rakyat Algeria bagi menuntut kemerdekaan. Beliau juga melarang rakyat Tunisia dari melakukan solat untuk rakyat Palestin yang mati syahid, ataupun membincangkan tentang Intifada.

Beliau telah memerintah Tunisia selama 31 tahun, sehinggalah 7 November 1987 apabila beliau disingkirkan oleh Perdana Menteri Zein Al-Abidine Ben Ali.

Ben Ali yang menyingkirkan Bourgiba dari tampuk kekuasaannya melalui sebuah rampasan kuasa pada mulanya telah memberikan sedikit harapan kepada rakyat Tunisia. Antara tindakannya ialah dengan membebaskan tahanan-tahanan politik era Habib Bourgiba.

Namun setelah berjaya mengukuhkan kekuasaannya, beliau mula mengimplementasikan polisi-polisi menindas yang serupa malah lebih teruk menyerupai Mustafa Kamal Attartuk di Turki.

Digulingkan...Ben Ali dan isteri Leila

Setelah 24 tahun ditindas, kebangkitan rakyat Tunisia akhirnya melucutkan kuasa Presiden Zein Al-Abidine Ben Ali yang cabut lari bersama ahli keluarganya meninggalkan negara.

“Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang-orang yang menghalang menyebut nama-nama Allah di dalam masjid-masjid-Nya, dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat.” (Al-Baqarah:114)

Revolusi Jasmin dan Kebangkitan Sinar Islam

Umumnya ramai yang tidak mengetahui bahawa di sebalik Revolusi Jasmin sebenarnya terdapat peranan gerakan-gerakan Islam.

Selepas kembali dibenarkan, solat Jumaat melimpah hingga ke jalan raya

Setelah Ben Ali melarikan diri, sinar Islam mula memancarkan sinarnya. Sekurang-kurangnya selama 50 tahun Islam ditekan dan penganutnya ditindas di bumi Tunisia.

Pada hari Jumaat 21 Januari yang lalu, buat pertama kalinya semenjak larangan mengerjakan solat Jumaat dikuatkuasanya oleh Rejim Ben Ali, warga muslim Tunisia telah dapat kembali mengerjakan solat Jumaat.

Islam kembali bersinar

Dalam laporan akhbar Al Quds berkata, “inilah solat Jumaat pertama setelah 50 berlalu kerana kekejaman diktator itu yang melarang melakukannya”. Fenomena ini disambut dengan gembira oleh oleh seluruh muslimin.

Selain itu buat pertama kalinya juga suara azan telah berkumandang di telivisyen dan masjid-masjid di Tunisia. Langkah yang selama ini dilarang di Tunisia berdasarkan alasan bahawa ucapan azan mengakibatkan pencemaran bunyi di Tunisia.

Tunisia di bawah pimpinan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali dan Presiden sebelumnya mendapat sokongan kuat dari kuasa-kuasa Barat.

Selain korup, zalim dan menyekat kebasan rakyat, mereka juga terkenal dengan tindakan bagi menyekat dan menekan gerakan Islam di negara mereka.

Kuasa-kuasa Barat ini seringkali menutup mata terhadap pelbagai pencabulan dan jenayah yang dilakukan oleh boneka mereka untuk menghalang perubahan berlaku, yang sudah pastinya akan menggugat kepentingan mereka di negara-negara terbabit.

Hal ini bukan sahaja berlaku di Tunisia, malah turut berlaku di Mesir dan Algeria. Gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan al-Muslimin, al-Nahdah dan FIS seringkali menjadi musuh politik utama bagi rejim-rejim yang menguasai negara-negara tersebut.

Gerakan-gerakan Islam ditekan sehingga mendorong pemimpinnya meninggalkan negara dan tinggal di negara-negara Eropah.

Walaupun perubahan telah berlaku di Tunisia, namun ianya masih kelihatan belum selesai. Kerajaan sementara yang baharu telah menunjukkan usaha memisahkan diri daripada rejim lama.

Perdana menteri Mohammed Ghannouchi dan Fouad Mebazaa, Speaker Parlimen dan Presiden sementara telah meninggalkan parti Ben Ali untuk memisahkan diri dan membina kredibiliti kerajaan perpaduan yang baharu ditubuhkan.

Di sebalik jaminan untuk melakukan perubahan, kebimbangan terhadap kebangkitan kumpulan-kumpulan Islam mula kelihatan. Kumpulan-kumpulan berhaluan kanan di negara itu mula memberi amaran supaya gerakan Islam tidak dibenarkan mengambil kesempatan daripada perkembangan itu.

Dalam laporan-laporan media Barat tentang Tunisia, penglibatan parti Islam al-Nahdah dalam politik selepas revolusi masih disertai dengan kebimbangan terhadap “politik Islam” di Tunisia, yang terdedah kepada persepsi dikaitkan dengan terorisme dan unsur negatif lain.

Penglibatan al-Nahdah dalam politik negara itu disebut sebagai mencetuskan kebimbangan terhadap pelaksanaan Islam yang didakwa menyekat kebebasan.

Paling membimbangkan adalah ura-ura kepulangan tokoh al-Nahdah iaitu Sheikh Rachid Ghannouchi (Rashid al-Ghannushi). Kehadirannya bakal menjadi tonggak terbentuknya pemerintahan Islam di Tunisia.

Siapa Sheikh Rashid al-Ghannushi

Rashid al-Ghannushi pada tahun 1980-an

Sheikh Rashid al-Ghannushi adalah seorang ulama, pejuang dan revolusioner Tunisia.

Pengaruh pemikiran Sayyid Qutb dan Hasan al-Banna, membuatnya bersama Omar al-Bashir, Presiden Sudan menjadi dua tokoh Ikhwanul Muslimin utama di utara Afrika.

Sheikh Rashid al-Ghannushi merupakan segelintir penulis dan pemikir Arab yang yang menulis tentang peribadi Imam Khomeini yang muncul selepas kemenangan Revolusi Islam Iran.

Sheikh al-Ghannushi memiliki hubungan erat dengan tokoh-tokoh revolusioner Iran di awal-awal revolusi Islam Iran.

Sheikh al-Ghannushi kemudian membentuk sebuah gerakan di Tunisia bernama “al-Nahdhah” yang pada akhirnya dikenali dengan “al-Ittijah al-Islamiyah”.

Gerakan yang dibentuknya ini bertumpu di Universiti al-Zaytoona bagi menghadapi Presiden Tunisia waktu itu, Habib Bourgiba dan kekuatan sekularismenya.

Prinsip-prinsip gerakan al-Ittijah al-Islamiyah telah dihebahkan pada 6 Jun 1981. Antara yang terpenting adalah menolak sekularisme, menitikberatkan hubungan dengan seluruh umat Islam sedunia, tidak mengiktiraf kebangsaan Arab, memperjuangkan pembebasan Palestin dan pembebasan negara-negara Arab dari cengkeraman imperialisme di samping mewujudkan organisasi yang bertujuan menjaga kepentingan rakyat.

Akibat aktivitinya ini, Presiden Bourgiba memerintahkan Sheikh al-Ghannushi untuk ditahan kerana dibimbangi gerakan ‘al-Nahdhah’ mempunyai peranan penting yang mampu menggoncang kekuasaan dan mejatuhkan kekuasaan Habib Bourgiba.

Pemerintah Bourgiba pada tahun 1986 menjadikan Sheikh Rashid al-Ghannushi sebagai tahanan rumah. Sementara sejumlah tokoh awal gerakan al-Nahdhah ditangkap dan diserahkan kepada pengadilan.

Konflik di antara pasukan pemerintah dan pendukung gerakan al-Nahdhah tidak dapat dihindarkan dan semakin meningkat. Akhirnya pada Mac 1987 pasukan keselamatan telah menangkap Sheikh Rashid al-Ghannushi, para pemimpin dan anggota gerakan al-Nahdhah.

Krisis di Tunisia mencapai kemuncaknya pada bulan April dan Mei 1987 apabila terjadi tindakan pemogokan dan juga kekerasan antara mahasiswa dan pihak keselamatan di kawasan universiti dan di jalanan.

Rejim Bourgiba menuduh apa yang terjadi adalah tindakan ganas yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan ekstrim yang mendapat arahan dari pihak asing, khususnya para pemimpin al-Ittijah al-Islamiyah yang melakukan kerjasama dengan pemerintah Iran dan berkonspirasi untuk mengeksport Revolusi Islam ke Tunisia bagi menumbangkan pemerintah Tunisia.

Pada 7 November 1987 berlaku kudeta yang diketuai oleh Perdana Menteri Zine El Abidine Ben Ali yang kononnya bertujuan bagi melakukan perubahan di Tunisia.

Pemerintahan baru dibentuk dan anasir-anasir rejim Bourgiba telah dibersihkan dan pihak tentera melakukan langkah-langkah baru dengan membebaskan tahanan-tahanan politik.

Majoriti tahanan politik ini berasal dari para pejuang Islam. Pembebasan Sheikh Rashid al-Ghannushi pada Mei 1988 telah menciptakan situasi yang positif di Tunisia.

Ini berikutan gerakan al-Ittijah al-Islamiyah menyatakan sokongannya terhadap pemerintah baru pimpinan Ben Ali. Buat seketika keamanan telah kembali ke negara ini dan rakyat tidak lagi melakukan aksi protes terhadap pemerintah seperti sebelumnya.

Perbezaan politik antara gerakan Islam dan pihak tentera yang baru berkuasa semakin ketara. Gerakan al-Ittijah al-Islamiyah akhirnya dilarang oleh pemerintah untuk melakukan aktivitinya di Tunisia.

Sheikh Al-Ghannushi Mengakhiri Krisis Pemimpin Revolusi Tunisia

Sehingga ke saat ini majoriti pemerhati politik di seluruh dunia berpendapat masa depan revolusi rakyat Tunisia masih kabur kerana tidak memiliki seorang pemimpin.

Namun dengan tersebarnya berita persiapan Sheikh Rashid al-Ghannushi untuk kembali ke Tunisia dapat memberikan kesan penting bagi masa depan negara ini.

Ini kerana Sheikh Rashid al-Ghannushi hingga pada masa ini masih mempunyai pengaruh dan sokongan rakyat yang kuat.

AFP dalam laporannya memetik kenyataan Sheikh al-Ghannushi tentang kemungkinan terbentuknya pemerintahan persatuan nasional di Tunisia setelah melalui proses yang panjang.

Kenyataan Al Ghanushi ini telah memberi harapan kepada seluruh pencinta Islam agar tertegaknya pemerintahan Islam di Tunisia.

Semoga peluang pada kali ini tidak disia-siakan sepertimana yang telah berlaku sewaktu Ben Ali mula mengambil alih kuasa. Harapan umat Islam di seluruh dunia ialah jangan biarkan peluang keemasan ini sekali lagi dicuri oleh puak sekular dan nasionalis.

Pengalaman Mengajar Erti Kehidupan.

Sumber: Klik sini

- Copyright © Selalu Berbicara -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -